Ciri-Ciri Utama Skim BNPL
-
Model Perniagaan
Penyedia BNPL membayar peniaga untuk barang atau perkhidmatan yang dibeli oleh pengguna, biasanya pada kadar diskaun yang dipersetujui. Pengguna kemudiannya membayar semula harga penuh pembelian kepada penyedia BNPL berdasarkan terma yang telah dipersetujui. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa model perniagaan lain yang diamalkan dalam pasaran. Sesetengah penyedia BNPL membayar peniaga sepenuhnya dan mendapatkan kembali jumlah tersebut melalui pembayaran balik pengguna dengan margin tertentu. Sementara itu, terdapat juga penyedia BNPL yang mengenakan caj kepada kedua-dua peniaga dan pengguna, pada kadar diskaun atau margin yang lebih rendah.
-
Platform Digital
Kebanyakan skim BNPL beroperasi sepenuhnya dalam talian, menjadikannya mudah diakses dan diurus melalui aplikasi mudah alih atau laman web. Walau bagaimanapun, penting untuk diperhatikan bahawa terdapat skim BNPL berskala kecil yang menyasarkan industri khusus atau segmen pengguna tertentu yang turut menggunakan platform luar talian.BNPL beroperasi sepenuhnya dalam talian, menjadikannya mudah diakses dan diurus melalui aplikasi atau laman web.
-
Struktur Bayaran Balik
Pengguna boleh membuat bayaran balik secara pembayaran tunggal selepas tempoh tertentu atau membahagikan pembayaran kepada beberapa ansuran. Ini ditawarkan sama ada tanpa sebarang caj atau dengan caj, yuran, atau faedah yang berkaitan.
-
Kelulusan Pembayaran
Kelulusan lazimnya diberikan bagi setiap transaksi, serta‑merta semasa proses pembayaran, atau berdasarkan had kredit yang telah ditetapkan.
-
Penerimaan oleh Peniaga
Walaupun skim BNPL pada mulanya ditawarkan terutamanya untuk pembelian dalam talian, ia kini semakin diterima di kedai runcit fizikal. BNPL sering digunakan untuk perbelanjaan harian, khususnya dalam makanan dan minuman, membeli-belah runcit, pengangkutan dan pelbagai pembelian berkaitan perkhidmatan.
Akta Kredit Pengguna 2025 [Akta 873] (AKP) telah diwartakan secara rasmi pada 31 Disember 2025, selepas memperoleh Perkenan Diraja pada 22 Disember 2025.
Salinan Akta ini boleh dimuat turun melalui laman sesawang Pejabat Peguam Negara Malaysia (AGC) di portal Perundangan Persekutuan Malaysia.
Pengumuman dijangka akan dibuat pada suku pertama tahun 2026 berhubung tarikh permulaan kuat kuasa AKP dan penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP).


