Ciri-Ciri Utama Skim BNPL
-
Model Perniagaan
Penyedia BNPL membayar peniaga untuk barang atau perkhidmatan yang dibeli oleh pengguna, biasanya pada kadar diskaun yang dipersetujui. Pengguna kemudiannya membayar semula harga penuh pembelian kepada penyedia BNPL berdasarkan terma yang telah dipersetujui. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa model perniagaan lain yang diamalkan dalam pasaran. Sesetengah penyedia BNPL membayar peniaga sepenuhnya dan mendapatkan kembali jumlah tersebut melalui pembayaran balik pengguna dengan margin tertentu. Sementara itu, terdapat juga penyedia BNPL yang mengenakan caj kepada kedua-dua peniaga dan pengguna, pada kadar diskaun atau margin yang lebih rendah.
-
Platform Digital
Kebanyakan skim BNPL beroperasi sepenuhnya dalam talian, menjadikannya mudah diakses dan diurus melalui aplikasi mudah alih atau laman web. Walau bagaimanapun, penting untuk diperhatikan bahawa terdapat skim BNPL berskala kecil yang menyasarkan industri khusus atau segmen pengguna tertentu yang turut menggunakan platform luar talian.BNPL beroperasi sepenuhnya dalam talian, menjadikannya mudah diakses dan diurus melalui aplikasi atau laman web.
-
Struktur Bayaran Balik
Pengguna boleh membuat bayaran balik secara pembayaran tunggal selepas tempoh tertentu atau membahagikan pembayaran kepada beberapa ansuran. Ini ditawarkan sama ada tanpa sebarang caj atau dengan caj, yuran, atau faedah yang berkaitan.
-
Kelulusan Pembayaran
Kelulusan lazimnya diberikan bagi setiap transaksi, serta‑merta semasa proses pembayaran, atau berdasarkan had kredit yang telah ditetapkan.
-
Penerimaan oleh Peniaga
Walaupun skim BNPL pada mulanya ditawarkan terutamanya untuk pembelian dalam talian, ia kini semakin diterima di kedai runcit fizikal. BNPL sering digunakan untuk perbelanjaan harian, khususnya dalam makanan dan minuman, membeli-belah runcit, pengangkutan dan pelbagai pembelian berkaitan perkhidmatan.
Akta Kredit Pengguna 2025 atau Akta 873 (AKP) telah diwartakan pada 31 Disember 2025 dan berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026. Sejajar dengan penguatkuasaan AKP yang bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna kredit di Malaysia, Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP).
Akta ini berperanan mengawal selia pelakuan industri kredit pengguna di Malaysia secara lebih menyeluruh, bersepadu dan berkesan seperti berikut:
- Penyediaan kerangka kawal selia yang menyeluruh dan konsisten:
- Pembangunan Piawaian Kebenaran (Authorisation Standards) dan Piawaian Tingkah Laku; dan
- Pembangunan kerangka dan maklumat bersepadu serta berkesan bagi pemantauan, penyeliaan dan penguatkuasaan.
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Menteri Kewangan II berkata: “Usaha ini adalah langkah penting Kerajaan bagi membina sistem kredit yang telus dan bertanggungjawab.
“Dengan penguatkuasaan Akta Kredit Pengguna 2025 dan penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna, Kerajaan meneguhkan perlindungan terhadap pengguna supaya mereka tidak terdedah kepada amalan kredit yang tidak adil atau tidak beretika,” katanya lagi.
Melalui Akta ini juga, pemberi kredit seperti syarikat skim beli sekarang bayar kemudian (Buy Now Pay Later Scheme, BNPL), syarikat pemajakan (leasing), dan syarikat pemfaktoran (factoring) diwajibkan memperoleh lesen daripada SKP. Sementara itu, pemberi perkhidmatan kredit seperti agensi pemungutan hutang (debt collection), syarikat pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas (impaired loan or financing acquisition), serta agensi kaunseling dan pengurusan hutang (debt counselling and management) juga perlu berdaftar dengan SKP.
Keperluan pelesenan dan pendaftaran ini akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026, dengan tempoh peralihan selama enam (6) bulan diberikan kepada pihak industri untuk memohon lesen atau pendaftaran di bawah AKP.
Langkah ini bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna, meningkatkan tahap tadbir urus industri kredit, serta memastikan amalan pemberian kredit yang lebih telus, adil dan bertanggungjawab dan profesional.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
2 Mac 2026


