Apakah itu pemfaktoran?
Pemfaktoran ialah kemudahan kewangan di mana syarikat perniagaan menukar bil atau invois yang belum dibayar oleh pelanggan kepada tunai segera melalui pemberi kredit pihak ketiga (pemfaktor).
Proses ini boleh berlaku dalam dua cara utama:
- Pemfaktor membeli invois itu daripada syarikat perniagaan.
- Pemfaktor memberi pendahuluan tunai kepada syarikat perniagaan dengan menggunakan invois tersebut sebagai cagaran.
Dalam kedua-dua keadaan, tujuannya adalah sama iaitu syarikat perniagaan dapat tunai dengan cepat tanpa perlu menunggu pelanggan membuat bayaran.
Apa Anda Perlu Tahu
01
Aliran tunai lebih cepat
Melalui kemudahan pemfaktoran, perniagaan boleh menerima bayaran awal berdasarkan bil yang dikeluarkan walaupun pelanggan belum membuat pembayaran.
02
Menyokong Modal Kerja
Kemudahan pemfaktoran membantu menampung keperluan operasi seperti pembayaran gaji, sewa dan kos harian, tanpa menjejaskan aliran operasi sementara menunggu bayaran daripada pembeli.
03
Melibatkan tiga pihak
Pemfaktoran melibatkan tiga pihak utama, iaitu Penjual, Pembeli dan Pemfaktor. Penjual ialah pembekal barangan atau perkhidmatan yang mengeluarkan invois kepada pembeli. Pembeli pula ialah pengguna atau pelanggan yang bertanggungjawab untuk membayar invois tersebut. Pemfaktor ialah syarikat kewangan atau institusi yang bertindak sebagai pihak ketiga dengan membeli invois (akaun belum terima) daripada penjual, lazimnya pada harga diskaun, bagi membolehkan penjual memperoleh tunai segera.
04
Hak kutipan dipindahkan
Pemfaktor akan mengurus dan menuntut bayaran daripada Pembeli.
Kesimpulan Ringkas
Pemfaktoran membantu syarikat perniagaan mendapatkan aliran tunai dengan lebih awal.
Namun, pihak yang terlibat perlu memahami dengan jelas terma perjanjian sebelum bersetuju, termasuk jumlah bayaran awal, caj yang dikenakan serta tanggungjawab setiap pihak. Dapatkan maklumat yang telus mengenai pihak yang bertanggungjawab mengutip bayaran daripada pelanggan dan bagaimana proses kutipan dibuat. Semua perjanjian, rekod bayaran dan komunikasi hendaklah disimpan sebagai rujukan sekiranya berlaku sebarang pertikaian.

