Standard Pelakuan

Ringkasan

Standard Pelakuan menetapkan suatu rangka kerja kawal selia yang komprehensif bagi menggalakkan amalan adil, bertanggungjawab dan profesional dalam kalangan industri kredit pengguna. Standard ini yang dikeluarkan di bawah Akta Kredit Pengguna 2025 (AKP), menetapkan keperluan yang terpakai kepada pemberi kredit dan pemberi perkhidmatan kredit bukan bank yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP).

Standard ini bertujuan untuk melindungi pengguna kredit, memperkukuh disiplin pasaran dan meningkatkan keyakinan awam dengan memastikan amalan yang konsisten merentasi pelbagai model perniagaan dan sektor (iaitu skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL), syarikat pajakan dan pemfaktoran, pembeli pinjaman terjejas, agensi kutipan hutang serta agensi kaunseling dan pengurusan hutang). Standard Pelakuan ini meletakkan akauntabiliti yang jelas ke atas lembaga pengarah dan pengurusan kanan untuk mengintegrasikan pencapaian hasil yang adil kepada pengguna (delivery of fair consumer outcomes) dalam budaya korporat dan tadbir urus organisasi.

Bidang utama pelakuan yang diliputi merangkumi amalan perniagaan terlarang, pemasaran dan pendedahan maklumat, keadilan terma kontrak, penetapan kadar faedah/keuntungan dan fi, penilaian kelayakan kredit dan penilaian kemampuan berhutang, pemungutan hutang, bantuan disebabkan kesukaran kewangan, pengendalian aduan, tahap kompetensi wakil, perlindungan data pengguna, pematuhan kepada Shariah serta keperluan tambahan khusus mengikut sektor. Secara keseluruhannya, Standard Pelakuan ini menyokong kewujudan lapangan persaingan yang setara dan pengawalseliaan yang konsisten dalam kalangan pemain industri.

Versi BM akan diterbitkan dalam masa terdekat.

Sorotan utama

01

Perlindungan pengguna yang kukuh dan kewajipan pelakuan yang adil

Larangan yang jelas terhadap amalan yang mengelirukan, menipu, mengeksploitasi atau mengganggu, dengan disokong oleh standard yang boleh dikuatkuasakan serta penalti yang signifikan di bawah AKP.

02

Akauntabiliti lembaga pengarah dan pengurusan kanan

Lembaga pengarah dan pengurusan kanan dikehendaki untuk menetapkan hala tuju dari peringkat kepimpinan (setting the tone from the top), menerapkan penyampaian hasil yang adil kepada pengguna (delivery of fair consumer outcomes) dalam budaya korporat, menyelia pengaturan tadbir urus, serta memastikan penyiasatan dan tindakan pembetulan terhadap salah laku dilaksanakan dengan segera.

03

Ketelusan, pendedahan dan keadilan terma yang dipertingkatkan

Keperluan pendedahan maklumat dalam bahasa yang mudah difahami, akses kepada maklumat kredit utama (termasuk kadar faedah/kadar keuntungan efektif), notis awal bagi sebarang perubahan serta perlindungan daripada terma kontrak yang tidak adil.

04

Rangka kerja kelayakan kredit, kemampuan berhutang dan kesukaran kewangan yang mantap

Kewajipan melaksanakan penilaian kredit yang berhemat, sekatan terhadap pemberian kredit kepada pengguna yang terlalu terbeban hutang, serta proses bantuan akibat kesukaran kewangan dan rayuan yang berstruktur dan terikat dengan tempoh masa yang jelas.

05

Perlindungan menyeluruh sepanjang kitaran hayat kredit

Standard terperinci yang merangkumi amalan kutipan hutang yang adil, pengendalian aduan dengan tempoh penyelesaian yang ditetapkan, kesesuaian dan kewajaran wakil, perlindungan maklumat pengguna serta pengurusan pelanggaran data, termasuk kewajipan tambahan yang disasarkan bagi BNPL, pembiayaan atau pinjaman terjejas dan produk patuh Shariah.

Pendekatan Berfasa

Transformasi landskap kawal selia kredit pengguna akan dilaksanakan secara berperingkat. Pendekatan ini diambil untuk memudahkan peralihan yang lancar dan meminimumkan sebarang gangguan yang tidak diingini dalam industri kredit pengguna sambil membolehkan SKP meningkatkan keupayaan dan kapasitinya untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dari semasa ke semasa. Pendekatan berperingkat diterangkan di bawah:

01

Fasa I (2026-2027)

  • Kementerian dan agensi yang sedia ada iaitu BNM, SC, SKM, KPDN dan KPKT akan terus berkhidmat sebagai Pihak Berkuasa Pengawalseliaan dan Penyeliaan (RSA) bagi sektor masing-masing di bawah Fasa I.
  • SKP akan menjadi pihak berkuasa berwibawa yang memantau pemberi kredit dan pemberi perkhidmatan kredit yang tidak dikawal selia pada masa ini oleh mana-mana pihak berkuasa.
  • AKP akan mempunyai peruntukan yang membolehkan SKP mengeluarkan standard atau garis panduan yang boleh diterima pakai dan dikuatkuasakan oleh RSA yang berkenaan ke atas entiti yang dikawal selianya.
  • AKP akan memperkukuh dan memudahkan pelaksanaan perniagaan kredit Islam oleh pemberi kredit bukan bank melalui peruntukan khusus bagi memastikan pemberi kredit tersebut serta produk yang ditawarkan mematuhi prinsip Shariah. Sehubungan itu, bidang kuasa kawal selia KPKT akan diperluaskan untuk merangkumi aktiviti pembiayaan Islam dan aktiviti pajak gadai Islam yang tidak dikawal selia di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400] dan Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 [Akta 81].Dalam masa yang sama, KPDN akan dipertanggungjawabkan untuk mengawasi dan mengawal selia perniagaan sewa beli Islam yang dijalankan oleh entiti bukan bank.
  • Lesen pemberi pinjam wang dan pemegang pajak gadai sedia ada, yang masing-masing diperoleh di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400] dan Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 [Akta 81], serta permit yang dikeluarkan kepada individu untuk pengambilan balik barangan di bawah Akta Sewa Beli 1967 [Akta 212], akan kekal sah dengan penggubalan AKP dalam Fasa I.
  • Aktiviti kredit pengguna oleh bank-bank akan kekal di bawah pengawasan BNM.

02

Fasa II (2028-2030)

Fungsi kawal selia yang berkaitan dengan aktiviti kredit pengguna di bawah KPDN dan KPKT akan dipindahkan ke SKP, manakala BNM, SC dan SKM akan terus bertindak sebagai RSA bagi entiti di bawah bidang kuasa masing-masing. Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 [Akta 400], Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 [Akta 81] serta peruntukan yang berkaitan dengan urus niaga jualan kredit di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] akan dipinda dan semua peruntukan yang berkaitan akan dimasukkan di bawah AKP yang dipinda.

03

Fasa III (selepas tahun 2031)

Dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang, penambahbaikan kepada struktur sedia ada untuk peraturan pelakuan semua institusi kewangan di Malaysia akan dipertimbangkan. Ini mungkin termasuk cadangan yang diambil daripada pengalaman pendekatan 'puncak berkembar' terhadap peraturan kewangan.

Lindung dan Perkasa
SKP merupakan pihak berkuasa berwibawa yang ditubuhkan di bawah Akta Kredit Pengguna 2025 untuk melindungi pengguna kredit dengan mengawal selia perniagaan kredit konvensional dan patuh Shariah, serta perniagaan perkhidmatan kredit di Malaysia.

© 2026 Hak Cipta Terpelihara. Suruhanjaya Kredit Pengguna.


Ooops!
Generic Popup2