Fahami Hak Anda

Prinsip perlindungan pengguna kredit

Akta Kredit Pengguna 2025 telah digubal bagi menyelaras pengawalseliaan dan memperkukuh rangka kerja perlindungan pengguna kredit.

Melalui pengawasan, garis panduan dan penguatkuasaan yang berkesan, SKP memastikan urusan kredit dijalankan secara adil, telus dan bertanggungjawab demi kesejahteraan pengguna kredit.
Berikut ialah prinsip penting untuk melindungi hak pengguna kredit dan memastikan pelakuan perniagaan yang adil, bertanggungjawab dan profesional:

  • Pelakuan perniagaan yang dilarang
    Perniagaan mesti dijalankan secara adil, bertanggungjawab dan profesional. Tiada amalan menindas, menipu atau mengambil kesempatan terhadap pengguna kredit.
  • Pemasaran dan promosi
    Maklumat dalam iklan dan promosi mestilah jelas, tepat dan tidak mengelirukan. Pengguna kredit tidak boleh diperdaya dengan janji palsu atau maklumat tidak jelas.
  • Ketelusan dan pendedahan maklumat
    Maklumat penting mestilah telus, mencukupi dan mudah difahami serta diberi pada masa yang sesuai supaya pengguna kredit boleh membuat keputusan yang bijak.
  • Keadilan terma perjanjian kredit
    Terma dan syarat kontrak mestilah adil serta seimbang antara hak dan tanggungjawab pengguna kredit dan pemberi kredit.
  • Pengenaan faedah, keuntungan, fi dan caj
    Faedah, keuntungan, fi dan caj yang dikenakan hendaklah berpatutan dan tidak keterlaluan.
  • Penilaian kemampuan kredit
    Pemberi kredit perlu membuat penilaian kelayakan kredit dan kemampuan berhutang sebelum memberi sebarang kredit bagi memastikan pengguna kredit hanya mengambil hutang yang mampu ditanggung.

  • Amalan kutipan hutang yang beretika
    Kutipan hutang mesti dibuat dengan notis yang mencukupi dan beretika, tanpa ugutan, kekerasan atau gangguan melampau.
  • Bantuan ketika kesukaran kewangan
    Pengguna kredit yang menghadapi kesukaran kewangan berhak mendapat bantuan atau kelonggaran bagi memenuhi tanggungjawab membayar balik hutang mereka.
  • Pengendalian aduan
    Saluran khusus untuk menerima dan menyelesaikan aduan pengguna kredit dengan adil dan berkesan perlu disediakan oleh setiap pemberi kredit dan pemberi perkhidmatan kredit.
  • Kecekapan wakil syarikat
    Pegawai yang berurusan dengan pengguna kredit mestilah terlatih, berpengetahuan dan beretika.
  • Pengurusan dan pengendalian maklumat pengguna kredit
    Maklumat peribadi dan kewangan pengguna kredit mesti dirahsiakan dan dilindungi daripada penyalahgunaan.

Lindung dan Perkasa
SKP merupakan pihak berkuasa berwibawa yang ditubuhkan di bawah Akta Kredit Pengguna 2025 untuk melindungi pengguna kredit dengan mengawal selia perniagaan kredit konvensional dan patuh Shariah, serta perniagaan perkhidmatan kredit di Malaysia.

© 2026 Hak Cipta Terpelihara. Suruhanjaya Kredit Pengguna.


Ooops!
Generic Popup2