Akta Kredit Pengguna 2025
-
Bilakah Akta Kredit Pengguna 2025 diwartakan dan berkuatkuasa?
Akta Kredit Pengguna 2025 telah diwartakan pada 31 Disember 2025. Kesemua bahagian di bawah Akta Kredit Pengguna 2025 (kecuali Bahagian V) telah berkuatkuasa pada 1 Mac 2026. Bahagian V yang berkenaan pelesenan dan pendaftaran akan berkuatkuasa pada 1 Jun 2026.
-
Apakah itu Akta Kredit Pengguna 2025 dan siapa yang dilindungi olehnya?
Akta Kredit Pengguna 2025 ialah undang-undang yang mengawal selia pemberi kredit di Malaysia, seperti pinjaman wang, pajakan/sewa beli, dan jualan kredit. Tujuannya adalah untuk melindungi hak dan kepentingan pengguna yang menggunakan perkhidmatan kredit ini.
-
Apakah kesan Akta Kredit Pengguna 2025 ke atas perjanjian kredit sedia ada yang saya miliki sebelum akta ini berkuat kuasa?
Di bawah Akta Kredit Pengguna 2025, perjanjian kredit hendaklah mematuhi prinsip di mana terma-terma perjanjian kredit antara pemberi kredit dan pengguna kredit adalah adil.
Berkenaan perjanjian kredit yang sedia ada, perkara ini akan disemak dan dikaji oleh SKP. -
Apakah hak saya sebagai pengguna di bawah Akta Kredit Pengguna 2025?
Sebagai pengguna, anda mempunyai hak untuk maklumat yang jelas dan telus mengenai terma dan syarat kredit, termasuk kadar faedah dan caj. Anda juga berhak untuk dilayan secara adil dan mempunyai mekanisme untuk membuat aduan jika berlaku pertikaian.
-
Bagaimana Akta Kredit Pengguna 2025 akan melindungi saya daripada kadar faedah yang terlalu tinggi atau caj tersembunyi?
Akta Kredit Pengguna 2025 bertujuan untuk memastikan ketelusan penuh dalam terma dan syarat kredit. Ini bermakna pemberi kredit perlu mendedahkan semua kadar faedah, caj, dan fi dengan jelas dan terperinci.
Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP)
-
Apakah peranan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) setelah Akta Kredit Pengguna 2025 berkuat kuasa?
Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan menjadi badan kawal selia utama untuk kredit bukan bank. Peranannya termasuk melesenkan dan mendaftarkan peserta industri, menetapkan garis panduan, menyelia aktiviti pemberi kredit, menguruskan aduan, dan menguatkuasakan peruntukan Akta Kredit Pengguna 2025.
-
Bagaimanakah pelaksanaan peraturan dan pengawal seliaan dijalankan oleh SKP?
Pendekatan berfasa akan dilaksanakan iaitu Fasa 1, SKP mengawalselia pemberi kredit (skim beli sekarang bayar kemudian, pemfaktoran dan pajakan) serta pemberi perkhidmatan kredit (pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas, pengutipan hutang, dan kaunseling dan pengurusan hutang) yang tidak dikawal selia mana-mana pihak sebelum ini. Manakala Fasa 2 melibatkan pemindahan tanggungjawab kawal selia aktiviti kredit iaitu pemberian pinjaman wang dan pemajakgadaian (termasuk yang patuh Shariah) di bawah KPKT, serta perniagaan sewa beli dan jualan kredit di bawah KPDN, kepada SKP.
Pelesenan dan Pendaftaran
-
Siapakah yang perlu memohon pelesenan dan pendaftaran daripada Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP)?
Perniagaan skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL), pemajakan dan pemfaktoran yang dikategorikan di bawah perniagaan kredit perlu membuat pemohonan pelesenan. Manakala perniagaan perkhidmatan pemungutan hutang, pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas, dan kaunseling dan pengurusan hutang dikehendaki membuat permohonan pendaftaran.
-
Bagaimanakah entiti perniagaan kredit dan perniagaan perkhidmatan kredit boleh memohon pelesenan dan pendaftaran?
Permohonan untuk pelesenan dan pendaftaran ini akan dibuka bermula 1 Jun 2026. Maklumat lanjut tentang tatacara permohonan, keperluan, dokumentasi serta saluran permohonan akan dimaklumkan menjelang 1 Jun 2026.
Pertanyaan dan Aduan
-
Bagaimanakah seterunya pemberi kredit dan pemberi perkhidmatan kredit mengendali aduan oleh pengguna kredit?
Semua pemberi kredit dan pemberi perkhidmatan kredit perlu mewujudkan dan melaksanakan proses pengendalian aduan yang telus dan adil, termasuk menyediakan pusat aduan sehenti yang boleh diakses dengan mudah oleh pengguna kredit.
-
Bagaimanakah saya boleh membuat aduan kepada SKP terhadap pemberi kredit atau pemberi perkhidmatan kredit?
Pengguna kredit digalakkan untuk membuat aduan kepada pemberi kredit atau pemberi perkhidmatan kredit itu dahulu sebelum membuat aduan kepada SKP. Sekiranya tiada sebarang maklum balas atau pengguna kredit masih tidak berpuas hati dengan cadangan penyelesaian yang diberikan, aduan boleh dibuat kepada SKP melalui https://care.skp.gov.my/.
-
Bolehkan saya membuat aduan kepada SKP terhadap pemberi pinjaman wang atau pemegang pajak gadai?
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kekal sebagai Pendaftar yang mengawal selia pemberi pinjaman wang dan pemegang pajak gadai konvensional. Oleh itu, sebarang aduan terhadap entiti tersebut haruslah diajukan kepada pihak KPKT.
-
Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya saya menghadapi sebarang masalah teknikal semasa menggunakan sistem pertanyaan dan pengurusan aduan SKP?
Kami kesal sekiranya anda menghadapi situasi sebegini dan akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk memperbaiki mutu perkhidmatan kami. Sila e melkan butiran masalah teknikal bagi sebarang ralat sistem, kegagalan menghantar borang atau isu teknikal lain ke general@skp.gov.my.
