Industries

Perlindungan Pengguna, Tadbir Urus Kredit.

Menentukan standard industri kredit di Malaysia

SKP menyelia segmen utama dalam industri kredit bagi memastikan amalan yang adil, telus dan bertanggungjawab. Bahagian ini memberikan gambaran mengenai aktiviti kredit yang dikawal selia oleh SKP, termasuk: Skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL), Pemajakan, Pemfaktoran, Pemerolehan pembiayaan atau pinjaman terjejas, Pengutipan hutang, Kaunseling dan Pengurusan Kredit.

Ketahui lebih lanjut setiap aktiviti di bawah untuk memahami peranan mereka dalam ekosistem kredit Malaysia dan bagaimana SKP berusaha melindungi pengguna sambil menyokong pertumbuhan yang mampan.

Bagaimana SKP Melindungi Pengguna Kredit?

Rangka kerja pengawalseliaan yang dikeluarkan oleh SKP memastikan perlindungan pengguna yang kukuh melalui peraturan yang menyeluruh dan pemantauan yang teliti. Standard Pelakuan kami memberi fokus kepada perkara berikut:

  • Ketelusan dan Pendedahan Maklumat

    Penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit diwajibkan untuk memberikan maklumat yang jelas, mudah dan lengkap mengenai semua terma dan syarat sebelum pengguna membuat apa-apa komitmen. Ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada, semua caj atau faedah, jadual bayaran balik, dan akibat jika gagal membayar balik hingga berlaku tunggakan. Maklumat mesti disampaikan dalam bahasa yang senang difahami dan mudah diakses di semua platform transaksi serta komunikasi.

  • Amalan yang Adil

    Penyedia kredit dan perkhidmatan kredit mesti mengamalkan pelakuan perniagaan yang beretika dan dilarang daripada menggunakan amalan pemasaran atau jualan yang mengelirukan, menipu atau tidak adil. Semua komunikasi dengan pengguna kredit mesti seimbang, tepat dan tidak mengambil kesempatan ke atas kerentanan mereka. Amalan kutipan hutang juga mesti dijalankan secara adil, berhemah dan mematuhi undang-undang, tanpa sebarang bentuk gangguan atau intimidasi.

  • Pemberian Kredit Secara Bertanggungjawab

    Satu keperluan asas bagi penyedia kredit ialah menjalankan penilaian yang munasabah dan bersesuaian terhadap kemampuan pengguna untuk membayar balik sebelum kredit diberikan. Penilaian ini perlu mengambil kira keadaan kewangan pengguna, termasuk pendapatan, komitmen kewangan sedia ada dan faktor berkaitan lain bagi mengelakkan masalah keberhutangan berlebihan. Penyedia kredit juga perlu mempunyai dasar dalaman yang jelas untuk menilai kelayakan dan kemampuan pengguna, supaya kredit hanya diberikan secara bertanggungjawab dan tidak memburukkan lagi tekanan kewangan terhadap pengguna kredit.

  • Pengurusan Aduan
    Pengguna kredit mesti mempunyai akses kepada mekanisme penyelesaian aduan yang adil dan berkesan dengan penyedia kredit atau penyedia perkhidmatan kredit. Ini termasuk proses dalaman pengendalian aduan yang jelas dan disampaikan dengan baik kepada pengguna, dengan tempoh masa tertentu untuk makluman dan penyelesaian. Jika proses dalaman tidak memadai atau tidak memuaskan, pengguna juga mesti mempunyai akses kepada badan bebas dan berkecuali untuk mengendalikan aduan yang tidak dapat diselesaikan.

  • Perlindungan Data
    Penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit bertanggungjawab melaksanakan langkah keselamatan yang ketat untuk melindungi maklumat peribadi dan kewangan pengguna yang dikongsi di semua platform digital. Mereka juga perlu mengamalkan protokol keselamatan siber yang kukuh untuk mengelakkan penggodaman, pencerobohan data dan penyalahgunaan maklumat. Selain itu, penyedia mesti mendapatkan kebenaran pengguna untuk penggunaan data apabila dikehendaki oleh undang-undang.

  • Pematuhan Syariah yang Menyeluruh
    Penyedia kredit Islam mesti mematuhi kehendak Syariah pada setiap masa, termasuk mematuhi nasihat atau keputusan berkaitan yang dibuat oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia. Dari segi skop, pematuhan Syariah secara menyeluruh diwajibkan di peringkat entiti bagi penyedia kredit Islam sepenuhnya, dan di peringkat operasi tetingkap Islam (Islamic window) bagi penyedia kredit Islam yang beroperasi melalui model tetingkap Islam. Penyedia kredit Islam mesti mendapatkan nasihat daripada penasihat Syariah atau jawatankuasa Syariah yang dilantik masing-masing.

Protect and Empower
SKP is the competent authority established under the Consumer Credit Act 2025 to protect credit consumers by regulating both conventional and Shariah-compliant credit providers, as well as credit service providers in Malaysia.

© 2026 All Rights Reserved. Suruhanjaya Kredit Pengguna.


Ooops!
Generic Popup2