Akta Kredit Pengguna
Penggubalan Akta Kredit Pengguna 2025 bertujuan untuk mencapai tiga objektif utama, iaitu mengawal selia perniagaan kredit konvensional dan patuh Shariah, serta perniagaan perkhidmatan kredit, melindungi hak dan kepentingan pengguna kredit, dan mewujudkan industri kredit yang adil, bertanggungjawab dan profesional.
Pendekatan Berfasa
Transformasi landskap kawal selia kredit pengguna akan dilaksanakan secara berperingkat. Pendekatan ini diambil untuk memudahkan peralihan yang lancar dan meminimumkan sebarang gangguan yang tidak diingini dalam industri kredit pengguna sambil membolehkan SKP meningkatkan keupayaan dan kapasitinya untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dari semasa ke semasa. Pendekatan berperingkat diterangkan di bawah:
01
Fasa I (2026-2027)
- Kementerian dan agensi yang sedia ada iaitu BNM, SC, SKM, KPDN dan KPKT akan terus berkhidmat sebagai Pihak Berkuasa Pengawalseliaan dan Penyeliaan (RSA) bagi sektor masing-masing di bawah Fasa I.
- SKP akan menjadi pihak berkuasa berwibawa yang memantau pemberi kredit dan pemberi perkhidmatan kredit yang tidak dikawal selia pada masa ini oleh mana-mana pihak berkuasa.
- AKP akan mempunyai peruntukan yang membolehkan SKP mengeluarkan standard atau garis panduan yang boleh diterima pakai dan dikuatkuasakan oleh RSA yang berkenaan ke atas entiti yang dikawal selianya.
- AKP akan memperkukuh dan memudahkan pelaksanaan perniagaan kredit Islam oleh pemberi kredit bukan bank melalui peruntukan khusus bagi memastikan pemberi kredit tersebut serta produk yang ditawarkan mematuhi prinsip Shariah. Sehubungan itu, bidang kuasa kawal selia KPKT akan diperluaskan untuk merangkumi aktiviti pembiayaan Islam dan aktiviti pajak gadai Islam yang tidak dikawal selia di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400] dan Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 [Akta 81].Dalam masa yang sama, KPDN akan dipertanggungjawabkan untuk mengawasi dan mengawal selia perniagaan sewa beli Islam yang dijalankan oleh entiti bukan bank.
- Lesen pemberi pinjam wang dan pemegang pajak gadai sedia ada, yang masing-masing diperoleh di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400] dan Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 [Akta 81], serta permit yang dikeluarkan kepada individu untuk pengambilan balik barangan di bawah Akta Sewa Beli 1967 [Akta 212], akan kekal sah dengan penggubalan AKP dalam Fasa I.
- Aktiviti kredit pengguna oleh bank-bank akan kekal di bawah pengawasan BNM.
02
Fasa II (2028-2030)
03
Fasa III (selepas tahun 2031)
Dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang, penambahbaikan kepada struktur sedia ada untuk peraturan pelakuan semua institusi kewangan di Malaysia akan dipertimbangkan. Ini mungkin termasuk cadangan yang diambil daripada pengalaman pendekatan 'puncak berkembar' terhadap peraturan kewangan.

